Monday, March 31, 2008

Masyarakat sukar terima bekas penagih dadah

PENOLAKAN masyarakat terhadap bekas penagih dan tiadanya peluang pekerjaan menjadi antara faktor utama mendorong golongan itu kembali melakukan aktiviti penagihan meskipun pada awalnya sudah berjaya dipulihkan.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi, berkata sehingga hari ini tiada satu mekanisme atau pendekatan terbaik diambil kerajaan bagi menangani masalah penagihan berulang, malah terus meminggirkan golongan penagih daripada menikmati kehidupan seperti orang biasa. Katanya, Ahli Parlimen sewajarnya melihat sendiri kepayahan yang ditanggung penagih dengan melawat penjara atau pusat pemulihan selain melakukan tindakan susulan selepas penagih keluar penjara bagi memastikan tidak berlaku ketagihan berulang.

Malah, beliau berharap, sistem pemulihan sedia ada yang diamalkan di penjara dapat dilihat semula supaya lebih memberi penekanan kepada pemulihan sepenuhnya termasuk pemantauan selepas proses pemulihan.

Katanya, sistem pemulihan sedia ada yang diamalkan di penjara tidak cenderung kepada pemulihan sepenuhnya kerana tidak ada langkah susulan dibuat selepas banduan dibebaskan.

“Peluang pekerjaan kepada bekas banduan juga amat susah, malah jabatan kerajaan sendiri tidak mahu menerima mereka meskipun sudah disahkan pulih sepenuhnya. Lebih mengecewakan, kerajaan juga sehingga kini tidak meluluskan elaun pembimbing rakan sebaya yang terdiri daripada Alumni Pusat Serenti.

“Sebaiknya, kerajaan lebih prihatin dalam membantu memulihkan penagih dengan mewujudkan agensi pekerjaan bekas penagih untuk sekurang-kurangnya memberi mereka peluang menceburi apa saja bidang kerjaya. “Antara langkah yang boleh diambil adalah mengurangkan pengambilan pekerja asing dengan mengambil bekas banduan atau penagih bekerja di sektor yang selama ini dikuasai pekerja negara luar,” katanya.

Selain itu, Mohd Yunus berkata, bagi menampung masalah kesesakan di penjara dan pusat pemulihan serta memantapkan pemantauan ke atas bekas penagih, kaedah pemulihan dalam komuniti perlu diperkenalkan dengan menggunakan jawatankuasa masjid, kampung dan daerah untuk menggerakkan pusat khidmat di kawasan masing-masing. Katanya, tidak semua penagih perlu dihantar ke penjara atau pusat pemulihan kerana hanya menagih dalam skala yang kecil tetapi pemulihan tetap perlu dibuat supaya tidak melarat.

“Semua langkah ini lebih mudah jika digerakkan badan bukan kerajaan (NGO) termasuk mengendalikan pusat jagaan lanjutan yang berperanan membuat langkah susulan kepada bekas penagih.

“Langkah susulan ini penting bagi mengelak mereka menagih semula selain memastikan golongan itu tidak melakukan kesalahan kecil lain untuk mencari duit mendapatkan bekalan dadah,” katanya.

Mohd Yunus berkata, hakim juga perlu memainkan peranan penting ketika menjatuhkan hukuman kerana sering berlaku penagih atau pesalah dipenjarakan atau ditempatkan di pusat pemulihan yang sangat jauh dari tempat asal mereka.

Keadaan itu, katanya, akan menyebabkan perhubungan kekeluargaan menjadi semakin renggang dan lebih menyukarkan lagi proses pemulihan kerana penagih tidak akan dapat merasai nilai kasih sayang dan perhatian keluarga.

“Peranan keluarga sangat penting. Jika keluarga tidak mengambil endah, penagih akan rasa tersisih dan jarang golongan ini dapat dipulihkan. Akhirnya, mereka akan menagih semula selepas keluar dari pusat pemulihan.

“Justeru, kaunselor perlu memainkan peranan penting untuk menyedarkan keluarga mengenai kepentingan mereka dalam membantu memulihkan penagih. Kerana itulah, Pengasih mensyaratkan ahli keluarga perlu mendaftar sebagai ahli Persatuan Sahabat Pengasih Malaysia,” katanya.

Menurut statistik, Rumah Pengasih seluruh negara menerima kemasukan seramai 105 residen dari Januari hingga Disember 2007 membabitkan 97 lelaki dan lapan wanita manakala 93 daripadanya berbangsa Melayu.

Daripada jumlah itu juga, tiga daripadanya adalah di kalangan penagih juvana berumur di bawah 15 tahun dengan majoriti penghuninya daripada golongan di bawah 30 tahun iaitu seramai 69 orang.

No comments: