Monday, March 31, 2008

54 peratus 'orang lama' masuk pusat serenti

KEMASUKAN ke pusat serenti di seluruh negara pada Januari tahun ini menunjukkan jumlah penagih berulang lebih ramai iaitu sebanyak 54 peratus atau 928 orang berbanding hanya 789 penagih baru. Malah, jumlah penagih berulang bagi bulan itu juga menunjukkan peningkatan sebanyak enam peratus berbanding hanya 875 kemasukan pada Januari 2007.

Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Sabran Napiah, berkata masalah penagihan berulang memang sudah lama menjadi kemelut yang melanda mana-mana negara seluruh dunia dan pelbagai langkah sudah digerakkan untuk mengatasinya.

Katanya, isu penagihan berulang adalah satu masalah yang sukar ditangani, malah definisi saintifik antarabangsa mengkelaskan senario itu sebagai sejenis penyakit kronik yang berulang tanpa ada kaedah perubatan paling sesuai.

"Menurut standard antarabangsa, setiap pusat pemulihan hanya berkeupayaan memulihkan 30 peratus daripada keseluruhan penghuninya, manakala selebihnya akan kembali menagih selepas dibebaskan.

"Sekurang-kurangnya, proses pemulihan di negara ini menunjukkan sedikit kejayaan dengan mengatasi piawaian itu apabila pada tahun lalu sebanyak 38 peratus daripada penagih berjaya dipulihkan sepenuhnya. Namun, jumlah itu masih sangat kecil," katanya.

Beliau berkata, dua masalah yang sering dihadapi oleh mana-mana agensi pemulihan adalah untuk melaksanakan aktiviti pencegahan dan dalam masa yang sama mengurangkan kadar pengulangan. Katanya, sehingga kini, AADK memainkan peranan menanam kesedaran kepada masyarakat supaya menjauhi dadah dengan menerapkan kefahaman seterusnya mewujudkan rasa gerun berkenaan risiko yang bakal ditanggung jika terjebak sebagai penagih.

"Selain itu, strategi utama yang sedang digerakkan AADK kini adalah menjalankan program pengawasan, rawatan dan pemulihan dalam komuniti kerana pastinya semua sedia maklum bahawa jumlah penagih dalam komuniti lebih ramai berbanding di institusi pemulihan.

"Katakan ada 10,000 penagih menerima rawatan pemulihan di penjara, pusat serenti, Rumah Pengasih dan agensi lain, jumlah itu masih terlalu sedikit berbanding berjuta penagih lain dalam kelompok masyarakat luar.

"Justeru, tanpa ada kompromi, AADK perlu memberi lebih penekanan kepada aktiviti pemulihan dalam komuniti bagi mencegah kewujudan penagih baru selain memastikan bekas penagih tidak kembali menagih," katanya. Sabran berkata, bagi mencapai matlamat itu, AADK menerusi jawatankuasa pemulihan di setiap daerah berusaha menjejaki semua bekas penagih yang dibebaskan supaya dapat membabitkan diri dengan aktiviti di pusat pemulihan dalam komuniti.

Bagaimanapun, beliau nyata kecewa dengan sikap masyarakat yang masih tidak mahu menerima golongan penagih untuk bersama-sama menjadi ahli komuniti menyebabkan pelaksanaan program itu belum mencapai matlamat sebenar.

"Ada penagih yang tidak mendapat tempat di rumah sendiri, dihalau ibu bapa malah masyarakat mencemuh mereka menyebabkan ada yang terpaksa lari daripada masyarakat dan akhirnya kembali kepada kumpulan penagih di belakang lorong.

"Bagi menangani masalah itu, pusat khidmat di setiap daerah kini menyediakan tempat tinggal sementara untuk memberi peluang kepada bekas penagih menstabilkan diri sebelum mampu keluar bekerja menyara hidup sendiri," katanya.

Beliau turut menyelar polisi yang diamalkan setiap agensi kerajaan kini yang masih mensyaratkan untuk tidak menerima bekas penagih sebagai pekerja meskipun sudah diakui pulih sepenuhnya. Beliau berkata, jika agensi kerajaan sendiri enggan menerima mereka bekerja, amat mustahil syarikat swasta sanggup berlapang dada menerima bekas penagih.

"Siapa saja yang ada rekod penagihan dadah tidak akan diterima bekerja di mana-mana sektor. Masyarakat tidak sedar bahawa ada bekas penagih yang mempunyai kemahiran tinggi dalam sesetengah bidang, malah kebanyakan mereka sangat tekun apabila bekerja.

"Mereka pula bukan mahukan pekerjaan yang hebat dan bergaji besar. Asalkan sektor pekerjaan menerima mereka sebagai pekerja, ia sudah cukup baik. Tak kiralah apa jenis pekerjaan pun. Bekas penagih pun tak ramai yang berpelajaran tinggi.

"Apa yang mereka perlukan ialah kehidupan selepas keluar dari pusat pemulihan. Tetapi, mengecewakan apabila undang-undang kerajaan sendiri tidak menerima penagih sebagai kakitangan awam," katanya. Sabran juga tidak menafikan ada penagih yang dipenjarakan tidak mempunyai pilihan lain kecuali kembali menagih dan menjalankan aktiviti jenayah lain, tambahan pula selepas menerima pendedahan pelbagai teknik jenayah ketika berada bersama penjenayah lain dalam penjara.

"Tak kiralah di penjara atau di Pusat Serenti sendiri, diakui memang ada kebocoran bahan terlarang berlaku termasuk yang dibekalkan oleh warden atau pegawai di pusat itu. Ia memang berlaku dan pihak bertanggungjawab sedang berusaha mengatasinya," katanya.

Beliau berkata, bagi mencapai matlamat memerangi dadah, empat perkara perlu diberi keutamaan iaitu memastikan seluruh anggota keluarga, institusi pendidikan termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi, tempat kerja dan komuniti bebas daripada dadah.

Katanya, AADK juga sedang berusaha keras memberi keyakinan kepada kerajaan untuk mengubah dasar sedia ada selain menggalakkan bekas penagih berdikari menjalankan perniagaan sendiri dengan memanfaatkan skim pinjaman peniaga kecil yang diwujudkan beberapa agensi kerajaan seperti Tekun.
Cetak artikel Hantar pada kawan

No comments: