Sektor awam sepatutnya jadi contoh ambil bekas pesalah dadah bertugas
ADAKAH semua pihak benar-benar serius atau sekadar melepaskan batuk di tangga dalam usaha menangani masalah penagihan berulang? Adakah semua pihak hanya pandai menuding jari tetapi berdiam diri dengan membiarkan kemelut itu terus menjadi 'duri dalam daging' yang akhirnya memburukkan reputasi negara dengan kebanjiran penagih tegar.
Menyelongkar senario ini, seakan banyak juga kelemahan dan kelompangan tanpa disedari, seakan menjadi kunci utama penggalakan lebih ramai penagih berulang melakukan 'kerjaya' yang sama, malah ada yang sudah cemerlang setapak ke depan melakukan jenayah lebih hebat. Memang benar, mengembalikan penagih kepada landasan sebenar bukan kerja mudah kerana menurut takrifan antarabangsa, penagihan adalah sejenis penyakit kronik berulang yang sukar dipulihkan.
Namun, sejauh mana usaha yang dijalankan semua pihak termasuk agensi kerajaan menampakkan mereka benar-benar serius membantu penagih kembali kepada kehidupan sebenar kerana apa yang berlaku kini, ruang kepada bekas penagih untuk hidup selesa seakan-akan dinafikan. Nada Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Datuk Sabran Napiah, yang kecewa dengan polisi kerajaan dalam membuka ruang pekerjaan kepada bekas penagih, wajar diberi perhatian. Agak mengecewakan jika golongan bekas penagih yang sudah menunjukkan komitmen untuk berubah tidak diberi ruang dalam agensi pekerjaan di sektor awam sedangkan sewajarnya kerajaan memainkan peranan utama membantu pemulihan mereka.
Justeru, tidak logik rasanya sektor swasta mampu menerima kemasukan bekas penagih bekerja di tempat mereka jika kerajaan sendiri 'menutup pintu' untuk membantu golongan itu menjadi rakyat biasa. Salah siapa jika akhirnya penagih memilih jalan untuk kembali menagih, melepak di lorong gelap, menyamun atau melakukan pelbagai jenayah lain untuk memenuhi keperluan kehidupan mereka selain mencari dana untuk menyara kos membeli bahan terlarang. Lihatlah sekeliling kita, sama ada di ceruk kampung atau di tengah bandar besar.
Jarang ada masyarakat yang terbuka menerima bekas penagih bersama dalam komuniti yang sama. Penghinaan ke atas mereka berterusan meskipun jelas golongan itu sudah bersih sepenuhnya daripada najis dadah. Mengenai kaedah digunakan di penjara pula dalam menjatuhkan hukuman kepada pesalah termasuk penagih, sewajarnya diperhalusi kembali apabila kebanyakan bekas banduan menyifatkan penjara sebagai pusat latihan jenayah.
Apabila dipertimbangkan pandangan mereka berdasarkan pengalaman berkali-kali keluar masuk penjara, senario itu seakan ada benarnya dan tidak boleh dinafikan. Bayangkan, jika seorang penagih dijatuhkan hukuman penjara dan diletakkan bergaul dengan pelbagai jenis penjenayah yang mempunyai pelbagai kepakaran, adakah mustahil penagih itu belajar pula teknik mencuri, pecah rumah, meragut dan bermacam lagi skil melakukan jenayah?
Akhirnya, daripada seorang penagih yang hanya tahu menghisap dadah, yang hanya tahu selok belok mengenai dadah, menjadi seorang yang pakar pula dalam hal jenayah lain apabila keluar dari penjara. Itulah tersirat dalam tersurat.
Masyarakat memahami penjara sebagai institusi menghukum dan memulihkan pesalah tetapi tanpa disedari, ada penerapan ilmu negatif yang diperoleh tanpa dapat dikawal berlaku di dalam penjara. Apabila penagih keluar penjara dan bergelar bekas banduan, penolakan masyarakat dan kesukaran mendapat pekerjaan menyebabkan mereka menggunakan kemahiran yang ada untuk menceburi 'kerjaya' baru yang dipelajari daripada 'otai jenayah' di penjara.
Jika putaran ini berterusan, sampai bila pun masalah penagih dan pesalah berulang tidak akan dapat diatasi dan terus menjadi kemelut kepada pihak berkuasa seterusnya meningkatkan kadar jenayah di negara ini.
Melihat kepada statistik AADK dan Pengasih pula, jelas sekali menunjukkan penagih kini datang daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk mereka yang berpelajaran tinggi. Jika dulu, penagihan hanya dikaitkan dengan golongan kelas bawahan, tetapi kini sudah ada penagih yang memiliki kelulusan tinggi sehingga ijazah kedoktoran, malah ada yang berkerja sebagai doktor dan peguam terbabit dengan aktiviti tidak sihat itu. J
usteru, adakah senario kini menunjukkan negara ini semakin bebas daripada najis dadah jika penyakit itu sudah menular pula ke setiap pelosok lapisan masyarakat dan seterusnya melekat kuat pula lantaran terbukti sukar diubati.
Kesimpulannya, tidak ada jalan mudah atau singkat bagi menangani isu ini kecuali kerajaan dan agensi berwajib perlu seiringan berganding tenaga mencari apa saja alternatif untuk menghapus atau mengurangkan jumlah penagih secara optimum.
Jangan sekadar melepaskan beban tugas itu kepada AADK atau agensi lain saja sedangkan masyarakat terus menjadi ejen utama menyuntik keinginan kepada penagih untuk kembali menagih selama-lamanya. Kerajaan pula perlu melihat semula polisi mereka yang selama ini memperlakukan penagih seperti 'anak tiri' sehingga seakan-akan menjadi salah satu badan yang menghalang bekas penagih menjadi manusia.
Renung dan amati peranan masing-masing.
Adakah benar kita membantu mereka menjadi insan atau sikap endah tak endah dan lepas tangan kita menjadi punca utama mereka kembali ke lembah kehinaan.
Monday, March 31, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment